Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama ahli parti selepas menyampaikan amanat sempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 21 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN sasar jadi gergasi politik, Anwar seru ahli perkuat jentera

SHAH ALAM, 21 APRIL: Semua anggota parti perlu bersungguh-sungguh menguatkan jentera bagi memastikan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) muncul sebagai gergasi politik dalam negara.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengenalan dua rangka kerja baharu perlu dilaksanakan dengan baik dan tersusun agar KEADILAN tidak tewas dengan parti lawan yang malap.

Dua rangka kerja baharu itu adalah KEADILAN Menang 16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25).

“Kita ada KEMAS16 dan POP25, langkah seterusnya adalah laksanakan dengan kata-kata. Jentera mesti hidup lebih hebat dari dulu. Saya akan minta pembantu untuk pantau secara dekat.

“Kita harus laksanakan program dan secara agresif menerangkan pendirian kita dan bersungguh-sungguh menguatkan parti agar KEADILAN muncul sebagai gergasi dalam sistem politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat di hadapan lebih 5,000 anggota KEADILAN sempena Konvensyen KEADILAN ke-25 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat sempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 21 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Anwar meluncurkan risalah KEMAS16 dan POP25 yang akan mengubah KEADILAN sebagai organisasi khidmat sosial dan kebajikan berorientasi perusahaan sosial.

Dalam pada itu, Anwar meluahkan rasa terharu terhadap kehadiran luar jangka ahli KEADILAN pada majlis sempena sambutan ulang tahun Jubli Perak parti itu.

Menurut ahli parlimen Tambun itu perkara tersebut amat membanggakan dirinya sekali gus membuktikan KEADILAN tidak leka dengan kuasa yang diamanahkan.

“Saya terharu dengan sambutan dan kehadiran yang diluar jangkaan. Tahniah. Ini satu permulaan yang baik. Kita tidak leka dengan kuasa dan ia satu perkara yang membanggakan,” katanya.

Ahli KEADILAN melaungkan Reformasi ketika amanat Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 21 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :