AGENDANASIONAL

Kilang proses makanan haiwan terbakar, empat pekerja melecur

SHAH ALAM, 22 APRIL: Empat pekerja termasuk tiga warga asing melecur dalam kebakaran di kilang memproses makanan haiwan di kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Klang dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata lima anggota berserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan kejadian pada 2.12 petang.

Beliau berkata kebakaran di bahagian tangki simpanan serbuk tepung itu bagaimanapun telah terpadam sebelum pasukan bomba tiba di kilang terbabit.

“Pemeriksaan mendapati kesemua pekerja lelaki itu melecur antara 10 hingga 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, Ahmad Mukhlis berkata tiga kilang di Solok Selatan 21, Pelabuhan Klang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Beliau berkata kejadian awal melibatkan sebuah kilang memproses bahan plastik yang terbakar kira-kira 80 peratus sebelum merebak ke dua lagi kilang berdekatan.

Menurut Ahmad Mukhlis pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.16 pagi dan seramai 54 anggota berserta jentera dari 11 BBP digegaskan ke lokasi kejadian.

“Setiap kilang berkeluasan 8,400 kaki persegi. Kebakaran dapat dikawal pada 5.30 pagi,” katanya dan menambah kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

– BERNAMA


Pengarang :