NASIONAL

3 maut dalam 2 kemalangan berasingan

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 15 APR: Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan membabitkan penunggang dan pombonceng motosikal di Jalan Ampang serta Genting Highlands, hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Ampang pada jam 8.55 pagi, sepasang remaja berusia 19 dan 17 tahun terkorban apabila motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok.

Penunggang, Muhammad Fitri Samsudin, dan pemboncengnya, Nur Athirah Rohaizak, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok di tepi jalan itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terpelanting ke atas jalan. Siasatan mendapati kemalangan dipercayai tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefly berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal maut apabila digilis lori di Taman Cendawan, Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, berkata dalam nahas kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati motosikal mangsa yang juga warga Indonesia dipercayai dilanggar di bahagian kiri sebelum dia terjatuh dan digilis lori terbabit.

“Mangsa tidak memakai topi keledar dan dipercayai berada di kedudukan titik buta menyebabkan pemandu lori berkenaan tidak perasan kehadiran motosikal terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pengarang :