BERITA UTAMASELANGOR

PKNS di landasan tepat, bina lebih 80 peratus rumah mampu milik

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 17 APR: Lebih 80 peratus dari 160,000 rumah dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia membuktikan anak syarikat Kerajaan Negeri itu masih pada matlamat penubuhannya dalam membantu rakyat dengan memajukan pembinaan rumah mampu milik.

“Daripada 160,000 rumah dibina, 87 peratus adalah rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik dan hanya 13 peratus sahaja rumah kos tinggi.

“Ini membuktikan tuduhan bahawa PKNS lari daripada matlamat asal adalah tidak benar,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKNS memang berada pada landasan tepat dengan pembinaan rumah mampu milik dan berkualiti untuk dimiliki rakyat di Selangor.

Katanya, perkongsian dan kerjasama bijak terjalin antara PKNS dan pihak swasta dalam membangunkan projek pembinaan di kawasan ini, membantu bagi menjayakan program rumah Selangorku diperkenalkan Kerajaan Negeri.

“PKNS memainkan peranan penting bagi membantu Kerajaan Negeri menjayakan pembinaan rumah mampu milik Selangorku,” katanya.


Pengarang :