PBTSELANGOR

MDHS anjur Hari Tanpa Kenderaan pada 25 Ogos

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bakal menganjurkan Program Hulu Selangor Hari Tanpa Kenderaan, di kawasan parkir berhadapan Pejabat Pos Bandar Kuala Kubu Bharu, pada 25 Ogos ini.

Menampilkan kelainan dengan mengetengahkan tema ‘Hari Kemerdekaan’, program itu adalah inisiatif MDHS ke arah menggalakkan amalan gaya hidup sihat kepada komuniti setempat.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporatnya berkata, tema itu dipilih bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk dan masyarakat luar yang bakal menyambutnya, pada 31 Ogos ini.

“Orang ramai dipelawa untuk bersama menjayakan program yang akan bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari ini.

“Pendaftaran adalah secara ‘walk in’ dan t-shirt percuma diberikan kepada 400 penyertaan terawal,” katanya dalam kenyataan, di Facebook.

MDHS berkata, program itu juga adalah pendekatan pihaknya untuk mengurangkan penggunaan kenderaan, sekali gus dapat mengawal pencemaran udara.

Katanya, program terbabit turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai masyarakat awam

“Ia termasuk larian santai kemerdekaan sejauh 1.3 kilometer, basikal santai, jalan kaki, senamrobik, ‘Skutter Blade’, ‘Roller Blade’,’Skate Board’ dan kereta bateri untuk kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti ‘Line Dance’, ‘Buskers’, sukan tradisional, sewaan basikal dan mewarna terbuka serta membuka tapak ‘Food Truck’, jualan produk PPDK, pameran agensi kerajaan juga swasta, kaunter cukai MDHS selain pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.

“Dalam kesempatan itu, kami juga menjalankan program ‘Flea Market’ dan ‘Eco Free Market’ serta lebih 50 cabutan bertuah,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung program itu, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Perancang Bandar MDHS di talian 03-60641331 atau layari Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor.


Pengarang :