SUKANKINI

Piala FAM: PJ Rangers umum tarik diri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Pasukan PJ Rangers secara rasmi mengumum penarikan diri daripada saingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bagi musim 2019.

Perkhabaran itu menyaksikan mereka hanya mampu bertahan lebih tiga tahun dalam kancah liga tempatan, sejak kali pertama menyertai pertandingan itu, pada 2015.

“Dengan berat hatinya kami mengumumkan penarikan diri daripada saingan Piala FAM untuk musim 2019.

“Namun, PJ Rangers akan terus menurunkan pasukan bagi saingan Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2019 yang akan dibarisi sebahagian besar pemain AirAsia Allstars,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, penarikan diri pasukan itu dari saingan Piala FAM tidak akan menjejaskan perancangan akar umbi khususnya membabitkan pasukan bawah umur.

“Komitmen kami untuk pembangunan akar umbi tetap kekal untuk musim depan apabila enam skuad (lelaki B-8, lelaki B-19, lelaki B-12, lelaki B-14 dan wanita B-16) akan beraksi dalam Liga Remaja Kuala Lumpur AirAsia,” katanya.

Sebelum ini, PJ Rangers dikenali sebagai Air Asia FC sebelum dijenamakan semula, pada 2016.


Pengarang :