LTDL ‘hidup semula’, publisiti cukup baik kepada Malaysia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

LTDL ‘hidup semula’, publisiti cukup baik kepada Malaysia

LANGKAWI, 13 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan kemeriahan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) ‘hidup semula’ selepas kelihatan malap dalam beberapa edisi lepas.

Beliau berkata, sepanjang lapan hari perlumbaan tersebut, liputan media termasuk menerusi siaran televisyen juga telah memberi publisiti cukup baik kepada Malaysia.

“Saya nampak (kemeriahan) hidup semula, dulu menjadi malap, agak terhad hari perlumbaan pun dikurangkan namun kali ini kita dapati sepanjang lapan hari perlumbaan, ramai orang keluar untuk melihat perlumbaan ini.


“Perlumbaan berbasikal ini lebih menguntungkan kerana kita mengadakan perlumbaan selama lapan hari, bukan berlumba di satu tempat tetapi di seluruh Malaysia. Liputan menerusi televisyen cukup baik, sehingga pada masa mereka berlumba di Genting Highlands dikatakan 400 juta orang melihat perlumbaan tersebut, ini memberi publisiti cukup baik kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang LTdL 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mengulas mengenai prestasi pelumba negara pada LTdL 2019, Dr Mahathir berkata, berdasarkan keputusan yang dicapai, kebolehan rakyat Malaysia dalam sukan berbasikal sudah mula menyerlah.

“Pada mulanya memang pasukan kita tidak ada langsung, tetapi lama kelamaan kita dapat latih dan sekarang ini mereka berjaya dalam perlumbaan ini. Hari ini kita lihat ada pasukan Malaysia (Team Sapura Cycling) yang dapat jersi Kuning, ini bermakna kebolehan sudah ada kepada rakyat Malaysia jadi kita harap sukan berbasikal ini akan dituruti dengan seluruh rakyat kerana ini adalah satu jenis sukan yang baik untuk kita,” katanya.

Ketika diminta mengulas kejayaan Langkawi menganjurkan peringkat ketujuh dan kelapan sepanjang LTdL 2019, Dr Mahathir berkata pulau peranginan ini memang memiliki potensi sebagai pusat riadah sukan berbasikal.

“Langkawi memang dijadikan pulau peranginan tetapi pada masa yang sama kita ingin lihat pulau ini menjadi satu pusat riadah yang mana tumpuan ialah kepada berbasikal dan saya yakin kita akan dapat melatih para pelumba basikal kita sehingga mereka juga menjadi juara di dunia,” katanya.

Menjawab soalan sama ada peringkat pertama LTdL tahun depan akan bermula di Langkawi, Dr Mahathir berkata perkara tersebut boleh dilaksanakan namun terpulang kepada sokongan daripada pihak penganjur.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next