BERITA UTAMA SELANGOR

WISH berdaya ekonomi dan kepimpinan wanita

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kelab Wanita Inspirasi Shah Alam (WISH) mampu menjadi landasan bagi mengangkat martabat golongan itu dalam bidang ekonomi melalui pelbagai aktiviti perniagaan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, kelab berkenaan turut menyediakan latihan kepimpinan kepada golongan wanita.

“Kita mahu memberdayakan wanita dalam semua aspek khasnya ekonomi dengan membabitkan lebih ramai wanita sebagai usahawan.

“Selain itu, WISH juga menerapkan latihan kepimpinan kepada ahlinya bagi melahirkan golongan bukan sahaja berilmu tetapi mampu memimpin masyarakat,” katanya ketika melancarkan Kelab WISH di Hotel Accapella di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu berkata, walaupun kelab yang diilhamkannya itu baru sahaja ditubuhkan, namun ia berjaya menganjurkan beberapa program bermanfaat kepada wanita dan masyarakat.

Katanya, kejayaan itu sekali gus memberi semangat kepada kepimpinan WISH untuk menganjurkan pelbagai program lain bagi memberdaya wanita.

“Keahlian WISH dibuka untuk wanita yang menetap di Shah Alam tetapi saya percaya wanita di daerah lain juga boleh mencontohi WISH dengan menubuhkan kelab seumpamanya di daerah masing-masing,” katanya.


Pengarang :