SELANGOR

PNSB anjur rumah terbuka Aidilfitri, erat silaturahim

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 JUN: Kehangatan Syawal diteruskan dengan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Bermula sekitar jam 11 pagi, majlis turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama isteri, Masdiana Muhamad.

Hampir 800 tetamu terdiri daripada wakil anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC), rakan perniagaan dan kakitangan Kerajaan Negeri hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Seri Ahmad Omar merakamkan jutaan terima kasih kepada tetamu yang sudi memeriahkan sambutan rumah terbuka tersebut.

“Sudah menjadi satu amalan kita mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menjemput semua kakitangan kerajaan dan rakan perniagaan.

“Program ini bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara PNSB bersama jabatan di Selangor termasuk rakan-rakan perniagaan yang lain,” katanya ketika ditemui.

Dalam majlis sama, PNSB turut menyantuni seramai 110 anak yatim dan pelajar tahfiz dari sekitar daerah Gombak dengan menghulurkan sumbangan duit raya dan cenderahati sebagai tanda prihatin di samping memberi peluang merasai suasana hari raya.

Mereka terdiri dalam kalangan penghuni Rumah Penyayang Darul Ilmi, Gombak; Maahad Tahfiz Yaqubiy, Batu Caves; Maahad Tahfiz Muaz Al-Hikmah dan Maahad Tahfiz Al-Kholidi.


Pengarang :