PBT SELANGOR

Dewan Konvensyen Bukit Raja bernilai RM13 juta dijangka siap 2021

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 11 NOVEMBER: Sebanyak RM13 juta hasil sumbangan pemaju sekitar Klang diperuntuk untuk pembinaan Dewan Konvensyen Bukit Raja.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, projek yang dijangka siap menjelang 2021 itu akan dibangunkan oleh Syarikat Tetuan Adatza Hutson.

“Dalam proses pemilihan, terdapat 25 firma dipilih untuk menghasilkan rekabentuk bangunan. Bagaimanapun, setelah tapisan dilakukan Syarikat Tetuan Adatza Hutson terpilih bagi menjalankan kerja pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Tapak dan Doa Selamat bagi Kerja-kerja membina Dewan Konvensyen Bukit Raja di Bandar Bukit Raja, di sini semalam.

Hadir sama Orang Kaya Mihabihaya Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh dan wakil Syarikat Adatza Hutson, Dato’ Ahmad Daud Azzain.

Majlis Tandatangani Penyerahan Tapak Pembinaan Dewan Konvensyen Bukit Raja, Klang antara kontraktor Adaza Hutson Sdn Bhd dan MPK pada 11 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berkeluasan 43,000 kaki persegi, Dewan Konvensyen Bukit Raja yang dibina dengan konsep ‘Konvensyen Dalam Taman’ itu menampilkan rekabentuk berteknologi hijau yang mengambil kira kecekapan penggunaan tenaga, air dah bahan mentah.

Mohamad Yasid berkata, dewan konvensyen berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan antara dewan bankuet berkeluasan anggaran lapan gelanggang badminton, auditorium, bilik seminar dan kafetaria.

“Kemudahan infrastruktur ini untuk kegunaan penduduk selari dengan misi MPK menjadikan Klang sebagai sebuah bandar bestari dan mampan,” katanya.

Berkeluasan 43,000 kaki persegi, Dewan Konvensyen Bukit Raja bakal dibina dengan konsep ‘Konvensyen Dalam Taman’ itu menampilkan rekabentuk berteknologi hijau. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :