Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan bahan pembersih tangan sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan wabak koronavirus 2019 di Bangunan Perdana Putra pada 26 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita China dari Wuhan individu ke-16 dijangkiti koronavirus

PUTRAJAYA, 8 FEB: Seorang wanita warga China dari Wuhan disahkan individu terbaharu positif koronavirus 2019, menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara kini berjumlah 16 kes.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelancong berumur 67 tahun itu merupakan ibu kepada kawan wanita yang disahkan positif koronavirus pada 6 Februari lepas.

“Mengambil kira kes terbaharu ini adalah kontak rapat kepada kes berkenaan, beliau telah diarahkan untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

“Selepas ujian pengesanan dan pengesahan dibuat dan dilaporkan positif pada 7 Februari, wanita itu telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil,” katanya mengenai perkembangan terkini koronavirus di sini hari ini.

Beliau berkata, pecahan individu positif koronavirus ialah 12 warga China dan empat warga tempatan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata seorang lelaki warga China yang disahkan positif koronavirus pada 25 Januari lepas dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat.

Beliau berkata lelaki yang dirawat di Hospital Permai, Johor yang mempunyai jangkitan radang paru-paru itu sedang menunggu keputusan ujian ulangan ketiga, selepas ujian pertama dan kedua disahkan negatif.

“Lelaki itu telah menerima rawatan ubat antiretroviral, ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV).

“Kes didapati memberi respons yang baik kepada ubat dan beliau akan dibenarkan pulang selepas keputusan ujian ulangan ketiga diperoleh,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :