Sekumpulan remaja meredah jalan yang dinaiki air ekoran banjir kilat yang melanda selepas hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Parit Mahang Jeram Kuala Selangor pada 21 November 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Banjir di Kuala Selangor, Kuala Langat pulih, Sabak Bernam pula dinaiki air

SHAH ALAM, 25 NOV: Seramai 130 mangsa yang ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir (PPS) di dua daerah di Selangor dibenarkan pulang selepas paras air surut sepenuhnya berikutan cuaca baik.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata dua PPS di Kuala Selangor iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok ditutup semalam manakala SK Kebun Baharu serta Surau Nurul Sham di Jalan Merbuk, Kebun Baharu di Kuala Langat ditutup 11 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, satu PPS dibuka 8 pagi tadi di Dewan Sri Sekinchan, Sabak Bernam bagi menempatkan 20 mangsa daripada tiga keluarga susulan kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat malam tadi.

“Banjir berkenaan melibatkan beberapa kediaman sahaja iaitu di Kampung Sungai Labu dan Taman Aman Jaya. Puncanya disebabkan pertembungan hujan lebat dan air pasang mati menyebabkan rumah yang dibina rendah daripada paras jalan utama dinaiki air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran Sabak Bernam mengambil tindakan membuka pintu air pasang surut Sekinchan dan Sungai Leman supaya air banjir dapat mengalir dengan lancar.

– BERNAMA


Pengarang :