Petugas Kesihatan Selcare menunjukkan sampel ujian calitan Covid-19 ketika program saringan percuma di Dewan Komuniti Taman Muda, Ampang pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Petaling, Hulu Langat catat kes lebih 300

SHAH ALAM, 12 MEI: Dua daerah negeri ini iaitu Petaling dan Hulu Langat semalam merekodkan kes harian Covid-19 melebihi angka 300.

Petaling merekodkan 362 kes daripada 1,328 kes yang dilaporkan di seluruh negeri, sementara Hulu Langat mencatatkan 313 kes.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, mukim Sungai Buloh merekodkan jangkitan Covid-19 tertinggi di Petaling membabitkan 136 kes.

Berdasarkan data dikongsi di Facebook, mukim Petaling bawah daerah sama mencatatkan 124 kes, Damansara (85) dan Bukit Raja (17).

“Pecahan kes di Hulu Langat melibatkan 108 kes di Kajang, Cheras (89), Ampang (57), Semenyih (28), kluster penjara (15), Hulu Langat (11) dan Beranang (lima).

“Daerah yang mencatatkan kes bawah 300 pula meliputi Gombak (216), Klang (191) dan Sepang (124),” kata jabatan itu.

Selain itu, Kuala Selangor merekodkan sebanyak 47 kes diikuti Kuala Langat (37), Hulu Selangor (20) dan Sabak Bernam (18).

Setakat Selasa, Selangor mencatatkan 145,747 jangkitan sejak pandemik menular.

 


Pengarang :