Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDANASIONAL

Selangor kutip hasil RM1.53 bilion meskipun ekonomi tidak menentu

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri mengutip hasil berjumlah RM1.53 bilion sehingga 20 Ogos walaupun keadaan ekonomi tidak menentu susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah tersebut merupakan 69.5 peratus daripada sasaran pendapatan RM2.2 bilion pada tahun ini.

Katanya, pada tahun lalu sasaran penuh kutipan dicapai pada November dan menunjukkan kesan masa kini yang lebih mencabar.

“Kita ambil beberapa langkah mengurangkan kesan antaranya pelaksanaan Smartbox atau Dropbox di pejabat tanah dan daerah serta menggalakkan program pendigitalan.

“Ia telah mengurangkan kesan kepada pendapatan dan aktiviti ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya menjawab pertanyaan mulut wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata kesan penularan wabak turut memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor pada tahun lalu yang mencatat pertumbuhan negatif 5.3 peratus manakala Malaysia, negatif 5.6 peratus.

Namun, katanya kesan itu diminimumkan apabila sektor penting dibenarkan beroperasi dan hanya lokaliti tertentu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).


Pengarang :