Selangorkini
Mesin inovasi ciptaan NGO Belanda Ocean Clean Up, Interceptor berjaya mempercepatkan kerja pembersihan Sungai Klang. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sungai Klang makin bersih, buang gelaran antara terkotor di dunia

SHAH ALAM, 24 NOV: Pernah disenaraikan antara sungai terkotor di dunia, gelaran itu berubah secara drastik apabila kebanyakan sampah dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2016.

Secara purata, sekitar 1,000 tan metrik sampah dikutip dalam tempoh sebulan sejak 2018 berbanding 1,500 tan metrik sebelum itu, kata pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

“Sungai Klang sering disenaraikan antara terkotor di dunia. Keadaan ini berubah secara drastik dan tiba masanya kita dikeluarkan daripada senarai itu.

“Kebanyakan sampah terapung sudah dikeluarkan dan anda boleh menaiki bot dari Pangkalan Batu ke Pelabuhan Klang tanpa perlu berhenti setiap 500 meter,” kata Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan.

Pihaknya turut menyasar untuk menurunkan kadar pengeluaran sampah kepada 900 tan metrik sebulan pada hujung 2022 melalui pemasangan tujuh perangkap sampah dan dua interceptor The Ocean Cleanup.

Sejumlah 75,402 tan metrik sisa pepejal berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang antara 2016 hingga September lalu melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus adalah sampah organik seperti keladi bunting dan dahan pokok manakala selebihnya bukan organik antaranya plastik, tin dan tekstil.

LLSB, anak syarikat Kerajaan Negeri diberi mandat menerajui projek SMG meliputi usaha pembersihan dan pemuliharaan Sungai Klang serta pembangunan lestari kawasan sekitarnya.

Projek ini sebahagian inisiatif negeri mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengoptimum lokasi utama di Selangor bagi memacu ekonomi maritim dan pembangunan baharu.


Pengarang :