Kumpulan Easy.Go Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) merangkul tiga anugerah sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu Perpustakaan Se-Malaysia Negeri Sembilan di Hotel Royale Chulan, Seremban pada 31 Mac 2022. Foto PPAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS rangkul tiga anugerah sempena konvensyen kumpulan inovatif Negeri Sembilan

SHAH ALAM, 3 APRIL: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengungguli tiga anugerah sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu Perpustakaan Se-Malaysia Negeri Sembilan.

Perpustakaan negeri melalui kumpulan Easy.Go merangkul juara kategori projek penambahbaikan, anugerah khas juri kumpulan terbaik dan juara persembahan terbaik dengan pembentangan bertajuk perkhidmatan BooksFly2U.

Pengarahnya berkata sebanyak 15 kumpulan perpustakaan awam dan perpustakaan akademik institusi pengajian tinggi awam menyertai konvensyen dari 29 hingga 31 Mac di Hotel Royale Chulan, Seremban.

“Konvensyen ini diadakan sebagai usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti jabatan yang dilihat dapat mengubah serta memperkenalkan cara kerja baharu lebih cekap dan berkesan,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad dalam kenyataan.

Kemenangan itu melayakkan PPAS membawa pulang wang tunai keseluruhan RM4,500, sijil serta plak yang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Khidmat pinjaman buku BooksFly2U dilancarkan PPAS pada 16 Julai tahun lalu bagi memudahkan orang ramai meminjam buku untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat awam.

Beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Bertemakan ‘pinjaman semudah 1,2,3’, petugas perpustakaan akan mengatur penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam dalam tempoh dua hari.


Pengarang :