Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rancangan Selangor dirangka demi sejahtera rakyat, elak berharap Putrajaya

SHAH ALAM, 27 JULAI: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor tidak boleh bergantung kepada perancangan Putrajaya semata-mata kerana agihan fiskal perlu adil kepada setiap negeri.

“Berhadapan dengan pelbagai krisis di seluruh dunia antaranya krisis kesihatan, kos sara hidup termasuk harga barang, perubahan iklim dan harga minyak, semua  ini memberi impak mendalam terhadap ekonomi serta rakyat Selangor.

“Justeru Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat tanpa ada sebarang usaha perancangan bagi menangani cabaran-cabaran ini,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin berkata RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun bertujuan mencapai hasrat Selangor untuk menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

“Rancangan ini memfokuskan pertumbuhan ekonomi selain memberdaya rakyat melalui program kebajikan dan pembangunan lestari. Ia juga menekankan sistem dan perkhidmatan cekap, telus dan efisien,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.

Amirudin berkata berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :