AGENDANASIONAL

Lelaki cedera, kereta jatuh sembilan meter atas landasan kereta api

SHAH ALAM, 8 OGOS: Seorang lelaki cedera apabila kereta dipandunya terbabas lalu terjatuh ke landasan kereta api sedalam lebih sembilan meter dekat Wadi Hana, Johor Bahru awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa yang memandu Proton Iriz berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum dibantu anggota bomba naik semula ke atas, lapor Berita Harian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Mohd Nazaruddin Ahmad Zainuddin, mengesahkan kejadian itu susulan laporan diterima pihaknya kira-kira jam 2.32 pagi.

Menurutnya, mangsa yang dalam perjalanan dari Lebuhraya Tebrau menghala ke pusat bandar terbabas sebelum kereta itu terjatuh ke landasan kereta api berkenaan.

“Tiba di lokasi kita mendapati seorang lelaki berusia 28 tahun cedera ringan. Kita turun bersama pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) memberikan rawatan kepada mangsa sebelum membawanya naik dengan menggunakan pengusung,” katanya.

Operasi melibatkan 11 angota bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan serta satu Unit Bermotor Bomba ditamatkan jam 3 pagi.

 

 


Pengarang :