Tinjauan fenomena air pasang besar di kawasan mengalami banjir di daerah Klang pada 27 September 2022. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

Air pasang besar: Tiga lokasi banjir di Klang terkawal

SHAH ALAM, 27 SEPT: Pemantauan air pasang besar di kawasan mengalami banjir di daerah Klang mendapati paras air dalam keadaan selamat dan terkawal setakat 7.30 pagi tadi.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata tinjauan dijalankan di Kunci Air Sri Muda, Pengkalan Pelabuhan Klang dan Tanjung Harapan dari jam 5 hingga 8 pagi.

“Hasil rondaan juga mendapati ban atau benteng masih dalam keadaan baik.

“Sepanjang pemantauan didapati tiada kawasan kediaman dinaiki air dan paras air di kunci air dan sungai berdekatan berada pada paras biasa dan selamat,” katanya di Facebook.

Minggu lalu, MPK berkata pihaknya menyediakan kelengkapan aset kenderaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata lebih 20 aset kenderaan sedia digunakan jika berlaku banjir antaranya trak pikap, lori jetter, lori tangki dan bot kecil.

Berdasarkan ramalan, air pasang besar dijangka merekodkan ketinggian 5.3 meter hari ini, diikuti 5.4 meter pada 7.53 pagi esok dan 5.3 meter pada Khamis antara jam 6.42 pagi.


Pengarang :