Pengundi (dari kiri), Wan Syamimi, 31, Navilashini Rajasekar, 27, dan Hui Yen, 24, menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 19 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

32 daripada 127 calon wanita menang Parlimen, 15 DUN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Seramai 32 calon wanita daripada 127 orang yang bertanding di kerusi Parlimen berjaya mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) seramai 15 daripada 60 lagi calon yang bertanding di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah berjaya memenangi kerusi masing-masing.

Daripada keseluruhan 127 calon Parlimen, 16 adalah calon Pakatan Harapan (HARAPAN), lima daripada Gerakan Parti Sarawak (GPS), tujuh daripadanya merupakan Perikatan Nasional (PN), tiga Barisan Nasional (BN) dan satu daripada Warisan, manakala bagi DUN, tujuh (HARAPAN), lima (PN) dan tiga (BN).

Antara calon HARAPAN yang memenangi kerusi yang ditandingi ialah Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 selain Teo Nie Ching, Teresa Kok Sim dan Hannah Yeoh masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Kulai, Seputeh dan Segambut.

Sementara itu, bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri yang bertanding di kerusi Parlimen di Santubong memperoleh undi majoriti sebanyak 19,485 selain Datuk Rubiah Wang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan dan kedua-dua mereka merupakan antara calon wanita bagi GPS.

Calon muka baharu, Rodiyah Sapiee turut memberi kemenangan buat GPS di Parlimen Batang Sadong selepas menewaskan wakil PH, Cikgu Lahaji dengan majoriti 14,893 undi.

Dalam pada itu, antara calon wanita BN yang memenangi kerusi adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Parlimen Parit Sulong, dengan majoriti 11,474 undi, selepas memperoleh 25,740 undi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said juga terus mempertahankan kerusi Parlimen Pengerang apabila berjaya meraih sebanyak 21,738 undi selain Datuk Siti Aminah Aching memenangi kerusi di Parlimen Beaufort.

Bagi calon wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi dalam PRU14 atas tiket BN selepas memperoleh 25,604 undi dengan majoriti 4,411 menewaskan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis yang menjadi calon tunggal wanita yang memenangi kerusi Warisan sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud dengan majoriti 4,582 undi.

Selain itu, kubu kuat HARAPAN, Parlimen Permatang Pauh tumbang di tangan parti lawan apabila Nurul Izzah tewas kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272.

Penyandang Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin juga gagal mempertahankan kerusinya selepas tewas dalam pertembungan sembilan penjuru di kawasan itu apabila hanya meraih 4,589 undi.

PRU15 menyaksikan penurunan jumlah calon wanita iaitu 187 orang bertanding 251 orang sewaktu PRU14 pada 2018.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan HARAPAN memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam),Warisan (tiga), PBM satu kerusi dan dua calon bebas. – BERNAMA


Pengarang :