Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bubar Parlimen ketika musim bencana satu kesilapan, kata MB

KLANG, 11 NOV: Dato’ Menteri Besar menyifatkan pembubaran Parlimen ketika musim banjir bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) satu kesilapan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, bencana yang berlaku bukan hanya menyebabkan mangsa terganggu malah pegawai daerah yang terlibat dalam pilihan raya.

“Saya beranggapan bahawa langkah yang diambil terhadap pembubaran sebagai langkah yang silap dan telah menyebabkan bukan hanya mangsa terganggu tetapi juga pegawai-pegawai terlibat.

“Contohnya, pegawai daerah di Klang dan Petaling merupakan pegawai pengurus tetapi pada masa sama kena bertugas untuk memastikan mangsa banjir ini dapat dikawal dan diselia,” katanya malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir Nur Halimah Abdul Haris di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Johan Setia di sini selain mengedarkan bantuan makanan.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan sukarelawan telah diarah bersiap siaga membantu jika berlaku musibah selain mengurus operasi mencari dan penyelamat (SAR).

“Pada malam ini (tadi) juga Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) ada dan mereka sentiasa bersiap siaga termasuk SAR kerana mereka turut mengadakan latihan dengan bomba,” katanya.

Hujan lebat beberapa jam petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Klang dilanda kilat. Berikutan itu, Kerajaan Negeri menggerakkan aset dan jentera untuk membantu penduduk.

 


Pengarang :