Sukarelawan Team Selangor giat membersihkan lima rumah penduduk di Kampung Cemperai, Dengkil pada 4 Disember 2022. Rumah berkenaan antara yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini. Foto TEAM SELANGOR
AGENSISELANGOR

Bantu bersih lima rumah mangsa bah, hulur bakul makanan di dua PPS

SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 25 sukarelawan Team Selangor hari ini berganding bahu membersihkan lima rumah di Kampung Cemperai, Dengkil yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Sekretariatnya berkata kediaman berkenaan antara yang paling teruk terjejas apabila bah menenggelamkan hampir separuh rumah mereka.

“Kampung Cemperai khususnya di sekitar rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin merupakan kawasan yang paling rendah dan berdekatan sungai.

“Dalam tempoh satu bulan sahaja, sudah tiga kali rumah mereka ditenggelami air apabila hujan lebat,” kata Syahaizel Keman kepada Selangorkini.

Menurutnya kerja pembersihan yang turut dibantu tiga ahli Persatuan Amal Kemanusian Malaysia dan lima wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung selesai jam 12 tengah hari.

Beliau berkata Team Selangor turut menyerahkan bakul makanan kepada penghuni di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Bukit Changgang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil.

Sukarelawan Team Selangor menyerahkan bakul makanan kepada penghuni di dua pusat pemindahan sementara di Dengkil pada 4 Disember 2022. Foto TEAM SELANGOR

Pengarang :