Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (tengah) bergambar bersama peserta sempena Program Hari Rendah Karbon@Rimbayu Kuala Langat di Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 7 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

1,600 pengunjung meriahkan Hari Rendah Karbon Bandar Rimbayu

KUALA LANGAT, 8 JAN: Kira-kira 1,600 pengunjung hadir memeriahkan program Hari Rendah Karbon@Bandar Rimbayu Kuala Langat di Jalan Flora 2, Bandar Rimbayu di sini semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata program pertama kali dianjurkan itu bertujuan menyokong aspirasi perbandaran rendah karbon.

Guru dan murid SJKT Sungai Manggis pemenang tempat kedua pertandingan urban picnic bergambar bersama selepas Program Hari Rendah Karbon@Rimbayu Kuala Langat di Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 7 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah julung kali MPKL anjurkan program ini dan sambutan amat menggalakkan, kita bercadang ia diadakan setiap bulan pada Sabtu minggu pertama.

“Lokasi program pula kita akan buat secara bergilir-gilir antaranya di Bandar Rimbayu, Eco Sanctuary, Gamuda 257, Tropicana Aman yang mana semuanya terletak di bawah pentadbiran MPKL,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Rendah Karbon@Bandar Rimbayu Kuala Langat di Jalan Flora 2, Bandar Rimbayu di sini semalam.

Kanak – kanak membuat latihan pushbike ketika Program Hari Rendah Karbon@Rimbayu Kuala Langat di Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 7 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurutnya MPKL mensasarkan pengurangan kadar pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 di samping memperkasakan amalan dan budaya hijau dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan bermula dari jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari program itu berlangsung antaranya eco paint, eco free market, peragaan fesyen eko (eco fashion show) dan bola sepak jalanan.

Turut disediakan adalah aktiviti larian mesra eko 5 kilometer dan basikal tolak (push bike) bagi kanak-kanak dan bermesra dengan burung (petting bird) selain trak makanan untuk kemudahan pengunjung.


Pengarang :