Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri DUN Templer Dan Parlimen Selayang 2023 di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: MB yakin mampu pertahan tiga kerusi DUN parlimen Selayang

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 21 MEI: Dato’ Menteri Besar percaya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen Selayang mampu dipertahan dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keyakinan itu antara lain dibuktikan dengan kehadiran begitu ramai penduduk yang memberi sokongan dalam majlis anjuran parlimen tersebut.

“Seperti tahun sebelum ini bila sampai di Selayang dan Taman Templer (DUN) saya lihat kehadiran yang begitu ramai.

“Ini adalah petunjuk dan satu contoh atau tanda-tanda bahawa kita masih lagi mempunyai sokongan dan keyakinan untuk pertahankan kerusi-kerusi negeri di parlimen Selayang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka parlimen Selayang dan DUN Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang malam tadi. Hadir sama Ahli Parlimennya William Leong dan Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan.

Selain Taman Templer, dua kerusi DUN di parlimen terbabit ialah Rawang dan Kuang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan orang ramai yang menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri DUN Templer Dan Parlimen Selayang 2023 di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin juga berharap suasana yang baik, meriah yang akrab dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri dan kawasan terbabit dapat dipertahankan.

“Sejak 2008 sampai sekarang pentadbiran serta pimpinan negeri sentiasa berusaha pastikan negeri ini terus maju dan rakyatnya dapat menikmati kemajuan walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran seperti Covid-19, kesan ekonomi, banjir besar dan juga perbezaan dengan kerajaan Persekutuan sekian lama.

“Kerajaan ini boleh bertahan malahan kita mampu untuk laksana dan berikan cara baru untuk lindungi rakyat seperti Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang juga ditambah baik mengikut sistem takaful,” katanya.

Ahli parlimen Gombak juga mengalu-alukan kedatangan pemerhati luar semasa PRN berlangsung.

“Tapi kalau nak bawa perpecahan, nak bangkitkan perbalahan, nak bakar api perkauman kita suruh mereka pulang kerana kita percaya orang Selangor tolak dan bersedia kekalkan muafakat dan perpaduan sedia ada,” tegasnya.


Pengarang :