Tuntutan kredit eMADANI, iaitu tawaran e-kredit tunai RM100 secara sekali bayar, dapat memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak melibatkan peruntukan RM1 bilion. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Inisiatif eMadani diteruskan, manfaat 10 juta rakyat

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan akan meneruskan inisiatif eMadani bagi meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian tunai menerusi pindahan kredit ke dalam e-dompet itu bakal memanfaatkan 10 juta rakyat.

“Dengan penyasaran subsidi lebih banyak faedah yang kita beri suntikan, termasuklah seperti RM100 melalui inisiatif e-Madani, kita akan teruskan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani yang disiarkan TV3 hari ini.

Menurut Anwar kerajaan juga berhasrat memperluaskan lagi inisiatif payung Rahmah dan meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kenaikan harga barang ini masalah dunia…sementara kita boleh kawal setakat yang sedaya kita.

“Kerajaan melihat bantuan tunai adalah lebih baik berbanding pemberian subsidi secara pukal yang turut dinikmati golongan kaya selain kira-kira 3.5 juta warga asing,” katanya.

 


Pengarang :