Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid diwawancara Media Selangor di Pejabat Media Selangor, Seksyen 14, Shah Alam pada 10 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pakar ekonomi: Pentadbiran cekap lonjak kemajuan Selangor

SHAH ALAM, 22 JAN: Dibentang 11 November tahun lepas, Belanjawan Selangor 2024 menggerak ekonomi negeri di celah ketidakstabilan geopolitik global dan kelembapan ekonomi dunia.

Bertema Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, rang undang-undang perbekalan berkenaan yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggariskan empat teras utama.

Menyasar pelaburan berkualiti untuk pembangunan berterusan, memperkasa pendidikan selain menjaga alam sekitar dengan teknologi baharu, kebajikan rakyat terbanyak kekal keutamaan belanjawan negeri.

Tidak ketinggalan, usaha memartabat umat Islam terus diberi tumpuan. Wartawan NADIAH ZAMLUS merakam pandangan Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengenai Belanjawan Selangor 2024 dalam temu bual pada 10 Januari.

Pernah berkhidmat di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Islam Malaysia Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Afzanizam ada 20 tahun pengalaman penyelidikan pelaburan khususnya ekonomi dan pasaran modal.

Lulusan doktor falsafah (ekonomi) Universiti Kebangsaan Malaysia itu kini penyelidik ekonomi dan industri kepada pengurusan BMMB untuk strategi, perniagaan serta pengurusan risiko.
__________________________________________________________________________________________________________

Belanjawan kali ini defisit RM330 juta dan defisit ini sudah enam tahun berturut-turut. Boleh ulas mengenainya?

Ini sebenarnya situasi yang bagus, cuma bila sebut perkataan defisit, konotasinya dibayangi negatif. Sebenarnya defisit belanjawan terjadi bila kerajaan berbelanja lebih daripada hasil.

Defisit fiskal bererti pihak kerajaan berbelanja melebihi apa yang mereka dapat melalui kutipan-kutipan hasil cukai dan bukan cukai.

Sebagai contoh, Belanjawan 2024 dijangka melibatkan kutipan hasil berjumlah RM2.2 bilion, manakala perbelanjaan pula RM2.53 bilion.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid diwawancara Media Selangor di Pejabat Media Selangor, Seksyen 14, Shah Alam pada 10 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Perbezaan dua angka ini akan memberi angka negatif iaitu RM330 juta, defisit fiskal yang bakal dicatatkan pada tahun ini. Namun, kita perlu memahami konteks defisit fiskal dan bagaimana ia mampu untuk menjana pertumbuhan ekonomi negeri Selangor.

Jika kita lihat pecahan perbelanjaan Kerajaan Negeri, ia terbahagi kepada dua iaitu perbelanjaan mengurus (RM1.33 bilion) dan perbelanjaan pembangunan (RM1.2 bilion).

Perbelanjaan mengurus melibatkan gaji kakitangan awam, perkhidmatan dan bekalan serta pelbagai lagi cabang yang akan melancarkan jentera Kerajaan Negeri.

Perbelanjaan pembangunan melibatkan perbelanjaan dalam sektor sosial, infrastruktur serta pembangunan ekonomi yang akan memberi kesan langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor. Malah perbelanjaan lebih kepada rakyat terus beri limpahan ekonomi. Yang mana, situasi ini memenangkan rakyat.

Apa pandangan apabila Selangor menyatakan azam melunaskan hutang Kerajaan Persekutuan sepenuhnya tahun ini?

Hutang sudah selesai bayar maksudnya kerajaan itu sangat bertanggungjawab. Bagi saya usaha ini ada makna.

Pertamanya, Kerajaan Selangor sentiasa berhemah dalam mengatur kewangannya sehinggakan ia mampu untuk melunaskan hutangnya.

Kalau dari sudut pandang pasaran kewangan, Selangor mempunyai risiko mungkir atau default risk rendah. Sekiranya Kerajaan Negeri mendapatkan penarafan kredit daripada agensi penarafan kredit, berkemungkinan ia berlegar sekitar AAA dan AA.

Mereka ada ruang dasar fiskal, boleh guna bila keperluan mendesak. Bila berlaku tekanan ekonomi atau kemelesetan, maka kerajaan boleh guna ruang dasar fiskal sekiranya amat diperlukan… jika berlaku kelembapan ekonomi meruncing. Kalau boleh memang kita tidak mahulah.

Terbaharu, Bank Dunia buat unjuran pertumbuhan ekonomi global 2.4 peratus berbanding 2.6 peratus sebelumnya.

Tinjauan ekonomi sekarang juga tidak stabil dengan situasi ekonomi global, faedah tinggi, situasi geopolitik China-Amerika Syarikat, juga Timur Tengah, semua beri kesan kepada ekonomi Malaysia.

Jika permintaan luar terjejas, maka ekonomi kita juga boleh terjejas. Jika dasar fiskal luas, maka Selangor ada peluang lebih bagus.

Ini bermakna Kerajaan Negeri boleh sahaja meminjam dengan Kerajaan Persekutuan dengan mudah disebabkan rekod baik.

Justeru, Kerajaan Negeri ada fleksibiliti kewangan baik yang seharusnya akan diterjemahkan melalui keyakinan pelabur dan peniaga.

Kalau hutang berterusan banyak, setiap kali belanjawan mesti fokus mahu bayar hutang sahaja. Cerita mudah, jika hutang habis, maka belanja untuk rakyat lebih banyak.

Pemandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini

Pentadbiran Lembah Klang Raya Selangor bakal wujud meliputi empat bandar raya menerusi penggubalan Enakmen Lembah Klang Raya. Apa kesan terhadap ekonomi Selangor dan Lembah Klang khususnya?

Gabungan ini babitkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang. Kebiasaannya, penggabungan bertujuan untuk mencapai suatu bentuk sinergi yang akan menambah nilai melalui perkhidmatan cekap, pemantauan lebih menyeluruh serta dapat mengurangkan kos.

Saya yakin ia mampu seragamkan kos operasi, permit, prosedur, sekali gus memudahkan rakyat Selangor. Jika keseragaman berjaya dicapai, maka akan memudahkan serta melancarkan perniagaan.

Perkara ini amat penting kerana kawasan-kawasan yang disebutkan ini ‘touch point’ kepada peniaga terdiri pelbagai saiz.

Tidak kira besar atau kecil dan pelbagai sektor, sudah pasti penggabungan akan menyeragamkan pematuhan undang-undang.

Sudah pasti ini akan dapat meningkatkan kecekapan operasi apabila urusan-urusan yang berkait rapat proses permohonan perniagaan, pelesenan dan kelulusan dapat dipercepat. Pada masa sama, mampu mengoptimumkan sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan ditubuh bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. Antara langkahnya menyalur dana RM145 juta untuk tingkat kualiti kemudahan jalan luar bandar. Pandangan Dr?

Benda ini sebenarnya hampir sama dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang disebutkan tadi, ekonomi lebih bagus maka kecekapannya lebih bagus.

Jumlah RM145 juta itu sudah tentu banyak ditumpukan pada jalan luar bandar. Bercakap tentang infrastruktur jalan raya, ini sangat penting. Melancarkan penghantaran barang dan perkhidmatan.

Syarikat selenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) selesai kerja baik pulih dan menurap semula jalan raya di Jalan Marmu, Sepang pada 1 September 2023. Foto Laman X Infrasel

Kalau jalan rosak, berlubang, sudah tentu banyak kena selenggara kenderaan. Jalan baik kurangkan penyelenggaraan. Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan.

Ini suatu usaha yang harus menjadi contoh kepada Kerajaan Negeri lain. Sekiranya dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, sudah pasti ia akan memberi keselesaan kepada penduduk.

Sebanyak RM3 juta diperuntuk untuk kajian kebolehlaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri. Apa boleh dicapai sekiranya projek ini dilaksana?

Saya rasa Selangor cuba menambah baik sistem pengangkutan awam. Tentulah kajian menyeluruh dilakukan bagi memastikan dampak alam sekitar laluan rel ini tidak beri kesan negatif.

Lebih banyak pengangkutan awam ia akan bantu penjimatan kos rakyat. Khususnya di kawasan Selangor mahupun Lembah Klang memang ramai gunakan kenderaan sendiri ke mana jua.

Biasanya ia sinonim di kawasan bandar. Sekarang ia diluaskan ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam. Penduduk kawasan ini ke bandar memang guna kereta.

Projek ECRL di Selangor bakal melalui jajaran utara melibatkan Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang. Foto Facebook MHE Civil Works

Selepas ini lebih mudah kerana ada pengangkutan awam. Projek besar sebegini sudah tentu beri limpahan ekonomi. Wujudkan populasi baharu, ada projek perumahan, rumah kedai dan pelbagai kemudahan yang akan ditambah baik.

Idea ini sudah bagus, cuma tinggal melaksanakannya. Namun kos RM3 juta itu sudah tentu tidak cukup. Itu hanya peringkat kajian. Untuk membinanya sudah tentu lagi besar.

Tidak semua negeri mampu melaksanakan seperti Selangor. Itu kerana mereka ada profil kredit yang bagus. Pola penduduk pasti akan jadi lebih maju dan moden dengan adanya pembinaan projek perumahan dan sebagainya.

Selangor berhasrat membangunkan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah yang mampu membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 megawatt tenaga elektrik. Inisiatif dijangka mengurangkan sampah, sekali gus menjimatkan perbelanjaan negeri. Ulasan Dr?

Berdasarkan statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), anggaran sehari sisa pepejal di Selangor pada 2021 adalah 7,670 tan sehari.

Setahun, angka ini 2.8 juta tan. Memandangkan populasi Selangor yang terbesar di Malaysia, maka sisa pepejal ini yang tertinggi.

Justeru, usaha membangunkan Loji Tenaga Hijau suatu keperluan kerana tempat pelupusan sampah semakin berkurangan. Malah boleh tukar kepada tenaga, galakkan kitaran ekonomi penghasilan tenaga.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika tapak projek Sisa kepada Tenaga (Waste-To-Energy (WTE) Jeram diantara Worldwide Holdings Berhad (WHB), dengan kerjasama Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd (Shanghai Electric) di tapak pelupusan Sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pembinaan loji tenaga hijau penyelesaian bijak kerana ia bukan sahaja menyelesaikan masalah tapak pelupusan, malah menghasilkan tenaga hijau bermanfaat kepada semua pihak, sejajar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR) yang dilancar Ogos tahun lalu.

Usaha ini sangat bagus sebab selesaikan isu kita hendak buang di mana lagi sisa ini? Pada masa sama selesaikan masalah untuk dapatkan tenaga baru. Sangat bijak!

Boleh rumuskan belanjawan kali ini?

Jika dilihat Belanjawan Selangor berbanding negeri lain. Dasar atau langkahnya lebih mendalam. Ia bukan hanya di ‘permukaan’. Banyak inisiatif dilakukan lebih terperinci.

Namun saya berharap supaya Selangor perhebatkan lagi penyaluran maklumat kepada rakyat supaya mereka tahu bahawa Selangor ini ada macam-macam.

Contohnya penawaran untuk pemilikan rumah, pelbagai skim disediakan. Memang campur tangan kerajaan untuk pemilikan rumah ini perlu. Jadi Selangor sentiasa ke hadapan.

Sementara itu, jika bercakap tentang bantuan, kita mestilah letak kerangka yang betul. Sebolehnya jangan bantuan yang membuatkan rakyat ini selama-lamanya bergantung dengan kerajaan.

Namun saya lihat di negeri ini, bantuan untuk membolehkan rakyat jadi usahawan cukup pelbagai.


Pengarang :