Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran sehari satu ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ilmu dan adab asas kehidupan, jauhi riak dan takbur (VIDEO)

SHAH ALAM, 14 MAC: Ilmu dan adab adalah asas yang menunjangi kemanusiaan justeru kedua-duanya perlu seiring diterapkan dalam kehidupan.

Demikian kata Ustaz Don Daniyal Don Biyajid ketika menghuraikan ayat 31-34 Surah Al-Baqarah yang dibaca qari jemputan Abdul Qawiy Abdul Rashid.

Beliau berkata ayat itu dimulakan dengan kepentingan ilmu dan tanggungjawab dalam diri seorang pemimpin dan seluruh umat manusia.

“Ulama sebut…Allah ajar Nabi Adam. Atas dunia ini ilmu itu penting. Dan apabila Allah minta Nabi Adam ajarkan malaikat (dan kemudian) malaikat tunduk kepadanya kecuali Iblis.

“Iblis dia lebih pandai daripada orang lain. Ketika mana Nabi Adam, Allah buat (cipta) belum bagi roh lagi, Iblis pusing keliling Nabi Adam. Tengok makhluk yang bernama Adam ini.

“Maknanya dia (Iblis) itu cerdik lagi tetapi dengan ilmu saja tidak cukup, ada satu lagi (yang perlu) iaitu beradab. Sebab seseorang yang tinggi adabnya bermakna tinggilah ilmunya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Tadabbur al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Tangkap layar qari jemputan Abdul Qawiy Abdul Rashid dalam rakaman video progam tadabbur al-Quran sehari satu ayat sempena Ramadan

Program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan dipancar melalui media sosial  Amirudin ShariMedia Selangor dan TV Al-Hijrah.

Sementara itu, Amirudin berkata komponen penting dalam ayat ini menyatakan fungsi kita sebagai manusia supaya tidak ada sifat riak dan takbur seperti Iblis.

“Malahan dikatakan takbur dan riak itu adalah dosa-dosa besar yang dianggap kecil oleh sebahagian kita yang kadang-kadang kita lakukan (dalam kehidupan seharian).

“Semoga hati kita terdidik dengan al-Quran dalam bulan Ramadan ini dengan ibadah puasa yang kita laksanakan pada siang hari dan ibadah di malam hari termasuk tadabbur dan menghayati ayat al-Quran setiap hari,” katanya.

 


Pengarang :