Orang ramai mendaftar Pangkalan Data Utama (Padu) pada sesi townhall berkenaan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 23 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tinjauan: Kemas kini Padu mudah lagi selamat, ‘tak ambil masa lama pun’

SHAH ALAM, 24 MAC: Orang ramai terutama ketua isi rumah disaran segera mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sebelum 31 Mac berikutan prosesnya mudah lagi selamat.

Jurulatih sukan Muhammad Asyraf Azan, 35, memberitahu orang awam tidak perlu gusar terhadap kemungkinan kebocoran maklumat kerana kerajaan memberi jaminan perkara itu tidak berlaku.

Muhammad Asyraf Azan. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Pada masa sama, rakyat juga perlu sedar dalam dunia tanpa sempadan ini, segala data individu berada di merata-rata tempat.

“Beli barang dalam talian, kita guna alamat rumah, nombor telefon, malah beri data perbankan. Proses daftar Padu ini mudah, kemas kini sahaja data. Kebanyakan maklumat tersedia,” katanya.

Suri rumah R Shamala, 39, berkata beliau bergegas ke kaunter fizikal untuk mendaftar Padu sebaik dimaklumkan abangnya mengenai kemudahan tersebut

R Shamala. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Mudah saja prosesnya, sebelum ini saya fikir ambil masa lama. Rupa-rupanya sekejap sahaja.
Saya suri rumah, suami pemandu bas. Jadi, saya bimbang tercicir bantuan kalau tidak daftar.

“Diharap dengan adanya data ini, ia dapat membantu kerajaan untuk menyediakan lebih banyak manfaat terutama untuk orang susah,” kata penerima Sumbangan Tunai Rahmah itu lagi.

Juruterapi perbidanan Reina Bahari, 62, pula mengakui ada data yang dikumpul menerusi bancian sebelum ini tetapi Padu lebih tersusun tetapi memerlukan setiap bahagian diisi terperinci.

Reina Bahari. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Kerajaan bertanggungjawab mengumpul data terkini supaya program kebajikan lebih berkesan. Tidak ambil masa lama pun. Semua data memanfaatkan kita semula pada masa depan,” katanya.

Mereka ditemui selepas menghadiri sesi pendengaran awam bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di sini pada 23 Mac. Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sistem Padu yang dilancarkan pada 2 Januari lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dikemas kini menerusi pautan www.padu.gov.my sehingga 31 Mac.

Individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan sistem Padu bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.

Kerajaan juga tidak bercadang melanjutkan tempoh mendaftar Padu. Ia bagi mematuhi jadual pelaksanaan penstrukturan semula subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

Sistem Padu dikawal selia dan dibangun menggunakan kepakaran penjawat awam tanpa pihak ketiga. Justeru, isu kebocoran data dan maklumat dapat diminimum kerana penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

 


Pengarang :