SHAH ALAM, 8 JUN: Dato’ Menteri Besar menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang memuji langkah agresif Kerajaan Negeri melaksana program saringan percuma.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keprihatinan dan kepedulian Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencerminkan sifat penyayang baginda yang menjadi inspirasi kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Menjunjung kasih di atas titah DYMM Tuanku berkenaan kawalan kesihatan dan inisiatif ujian saringan Covid-19 percuma oleh Kerajaan Negeri,” tulisnya di Facebook hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor dalam kenyataannya memuji langkah agresif Kerajaan Negeri melaksana program Saringan Komuniti secara percuma.
Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun.
Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang
status kesihatan diri selesai dijalankan di 52 DUN setakat ini.
Setakat Sabtu, seramai 91,586 orang telah disaring dan 3,237 daripada disyaki positif namun majoriti tidak bergejala.