SHAH ALAM, 1 JUN: Program Ziarah Medik kelolaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bakal diteruskan lagi Jun ini.
Yang dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bagi sesi kedua itu dianggar lebih 400 pesakit kronik dari 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibantu.
“Kita sudah selesai fasa pertama Ziarah Medik Mac lalu membabitkan dana RM2,500 bagi setiap DUN untuk disalurkan kepada 10 pesakit yang masing-masing menerima bantuan RM250 setiap seorang.
“Susulan sambutan yang diterima pada fasa pertama di 38 DUN, kita akan teruskan dengan sesi seterusnya melibatkan peruntukan sama. Secara keseluruhan RM200,000 disediakan bagi Ziarah Medik tahun ini,” katanya.
Isteri kepada Dato’ Menteri Besar itu berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Ibu dan Ulang Tahun Ke-15 Pekawanis yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC di sini semalam.
Majlis diseri dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Program Ziarah Medik yang memasuki tahun ketiga itu mengutamakan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).