SELANGOR

Bantah persempadanan semula selamatkan PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) wajar berterima kasih kepada Kerajaan Selangor ekoran keputusan Kerajaan Negeri mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan pembubaran Parlimen ditangguhkan.

Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, penangguhan itu sekali gus memberi peluang kepada PAKATAN untuk mengatur strategi paling berkesan hingga saat akhir, sebelum melangkah ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika tidak kerana Kerajaan Negeri membawa bantahan di mahkamah, hampir pasti Parlimen sudah dibubarkan tahun lalu dan memberi banyak kelebihan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Shaharuddin berkata, jika persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu berjaya dilaksanakan, peluang PAKATAN untuk menumbangkan BN, pada PRU-14 semakin tipis.

Siri forum anjuran IDE menampilkan tokoh akademik tidak asing, iaitu Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) merangkap Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ketua Analisis Politik dan Sosial di Penang Institute, Dr Wong Chin Huat.

 


Pengarang :