SELANGOR

MB: Komuniti main peranan kurangkan gejala sosial

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 2 SEPT: Peranan komuniti amat siginifikan dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri mengurangkan kadar masalah sosial dan jenayah, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari

Beliau berkata, masyarakat juga perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak bertanggungjawab seperti Polis serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dengan melaporkan sekiranya berlaku sebarang gejala sosial juga jenayah di kawasan sekitar.

“Masyarakat pada hari ini menyedari berlakunya peningkatan masalah gejala sosial dan jenayah dalam negara serta pelbagai masalah sosial yang telah wujud.

“Maka sudah menjadi tanggungjawab setiap individu dan komuniti untuk sama-sama menangani gejala ini serta turut merasa terpanggil untuk berganding bahu menangani gejala sosial terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Komuniti dan Hari Terbuka UNISEL, di Desa Mentari, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pengurangan kadar gejala sosial akan dapat mengekang masalah akhlak rakyat, sekali gus mengurangkan masalah jenayah.

“Selain itu, kos pemulihan dan penyelenggaraan pusat-pusat pemulihan penjara juga dapat dikurangkan.

“Saya yakin dengan pengurangan masalah gejala sosial dan jenayah ini, rakyat akan dapat hidup lebih aman sejahtera, lantaran itu rakyat Selangor akan menjadi lebih progresif serta produktif,” katanya.


Pengarang :