SELANGOR

RM41,000 menanti kaki pancing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 DIS: Kaki pancing berpeluang merebut hadiah keseluruhan RM41,000 menerusi pertandingan memancing anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam, pada Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 dan motosikal, sementara tempat kedua wang tunai RM10,000.

Katanya, hadiah bagi tempat ketiga berupa wang tunai RM5,000, keempat RM3,000, kelima RM1,000 dan saguhati RM100 seorang bagi tempat keenam hingga ke-25.

“Pertandingan ini akan diadakan pada 15 Disember ini bermula jam 7 pagi.

“Penyertaan terbuka kepada orang ramai dan yuran bagi setiap joran adalah RM100,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Ikan di Taman Tasik Shah Alam oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Shahrin berkata, menariknya kali ini antara ikan yang dilepaskan termasuk Ikan Patin seberat lebih 100 kilogram.

Katanya, pertandingan memancing itu diadakan bagi menggalakkan aktiviti rekreasi dalam kalangan masyarakat khususnya warga Shah Alam.

“Di samping itu, ia juga merupakan inisiatif MBSA untuk mempromosikan Taman Tasik Shah Alam serta taman-taman awam yang lain di sekitar Shah Alam.

“Justeru, MBSA ingin mempelawa orang ramai yang berminat dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Landskap, MBSA di talian terus 0355222830 atau 0355222838,” katanya.


Pengarang :