PBTSELANGOR

Eco Free Market MBSA tarik lebih 1,000 pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 FEB: Program Eco Free Market anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sambutan menggalakkan dengan menarik lebih 1,000 pengunjung di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14 di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program julung kali diadakan tahun ini turut menarik penyertaan seramai 92 penyumbang dengan membawa barang keperluan yang masih berada dalam keadaan baik seperti pakaian, kasut dan peralatan rumah.

“Matlamat penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan konsep Free Market kepada orang ramai selain diharapkan dapat memupuk semangat dan sifat bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

“Penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma adalah alternatif bagi mengelakkan pembaziran serta mengurangkan pembuangan barangan terpakai ke tapak pelupusan.

“Ia juga dapat mengurangkan barangan yang tidak digunakan daripada dibuang dan barangan dibuang akan menyumbang kepada peningkatan sampah di tapak pelupusan sampah,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pihaknya juga menampilkan kelainan dengan menyediakan kupon VIP kepada pengunjung yang memeriahkan program bersempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan itu.

Katanya, penerima kupon VIP membuat pertukaran barang kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama.

“Kita berjaya mengumpul sebanyak 74.8 kilogram (kg) barang kitar semula iaitu 36.3 kg botol plastik, 8.5 kg botol kaca, 21 kg surat khabar dan 9 kg aluminium,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

 


Pengarang :