SELANGOR

LZS rujuk kes kanak-kanak merayau waktu malam kepada JKM

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUCHONG, 5 JUL : Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Skuad Saidina Umar berjaya mengesan latar belakang seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa kerap merayau pada waktu malam di sekitar kawasan Taman Putra Perdana dekat sini.

Jurucakap LZS berkata, susulan itu, pihaknya akan menyerahkan kes tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut memandangkan siasatan mendapati kanak-kanak tersebut bukan dalam kategori orang susah.

“Kami menerima aduan daripada orang awam berhubung kehadiran kanak-kanak terbabit di sekitar kawasan Taman Putra Perdana pada waktu malam tanpa pengawasan orang tuanya. Susulan aduan itu kami membuat risikan dan berjaya mengesan keluarga kanak-kanak terbabit.

“Hasil siasatan kami mendapati, keluarga kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai kesulitan hidup di mana ibu bapanya bekerja selain miliki kediaman yang baik (rumah yang disediakan majikan),” katanya.

Terdahulu, kisah kanak-kanak tersebut menjadi perhatian penduduk kawasan Taman Putra Perdana selepas dia ditemui tidur di kedai dobi dan masjid selain gemar meminta makanan percuma di kedai-kedai berhampiran.

Dalam pada itu, LZS berkata, kanak-kanak terbabit juga pernah ditangkap polis namun dia tidak ambil iktibar dan tetap mengulang lagi tabiat suka merayau itu.


Pengarang :