PBTSELANGOR

Pertandingan Formasi Wajadiri MPSJ landasan promosi ilmu bela diri

OLEH ALIFF HAIKAL

SERI KEMBANGAN, 10 NOV: Julung kali dianjurkan, Pertandingan Formasi Wajadiri Terbuka MPSJ 2019 menerima sambutan hangat dengan penyertaan 60 pasukan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Serdang Jaya, di sini hari ini.

EXCO Tetap Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, penganjurannya membuka peluang kepada peserta lingkungan 8 hingga 12 tahun mengenali seni ilmu bela diri pelbagai kaum.

“Ia juga membantu usaha mempromosikan seni pertahanan diri daripada pelbagai kaum selain menjadi landasan yang sihat kepada persatuan seni mempertahankan diri untuk mempamerkan kehandalan serta kreativiti mereka.

“Sangat menarik apabila seni pertahanan diri dipersembahkan dalam bentuk formasi dengan menggabungkan muzik dan pergerakan seni mempertahankan diri secara berkumpulan,” katanya pada Majlis Perasmian Pertandingan Formasi Wajadiri Terbuka MPSJ.

Terdahulu, pertandingan anjuran MPSJ bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Persatuan Guru Seni Bela Diri Malaysia (MAGMA) serta Persatuan Pengamal Urut Terapeutik dan Penjagaan Melayu Malaysia (PUTRAM) membuka tirai acara seawal 9 pagi.

Kesemua 60 pasukan yang mengambil bahagian dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Silat (21), Wushu (18) dan Silambam (21).

Peserta bagi setiap kategori formasi bakal memenangi wang tunai beserta piala pusingan dan sijil dengan tempat pertama (RM2,000) beserta piala pusingan dan sijil, tempat kedua (RM1,000) beserta sijil, tempat ketiga (RM750) beserta sijil dan tempat keempat (RM250) beserta sijil.

“Diharap semoga semua penggiat seni mempertahankan diri di Selangor terus memartabatkan seni ini bagi mengekalkan keunikan dah kepelbagaian seni kaum masing-masing,” katanya.


Pengarang :