Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Sultan Muhammad V mahu lima projek di Kelantan disegerakan

KOTA BHARU, 11 NOV: Kerajaan Persekutuan hari ini diminta untuk melaksanakan lima projek utama yang dijanjikan kepada Kelantan dengan segera.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah lima projek tersebut yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

“Harapan beta agar kerajaan negeri dapat membantu dan bekerjasama dengan kerajaan pusat, untuk menyegerakan pelaksanaan projek-projek ini,” titah baginda sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Darulnaim, sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-50 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Baginda turut menarik perhatian tahun depan merupakan Tahun Melawat Kelantan yang bertemakan ‘I Love Kelantan’ atau ‘Kelantan di Hati’ dengan elemen ‘Keluarga, Makanan dan Festival (3F) dengan sasaran kemasukan 5.5 juta pelancong.

“Pada hemat beta, tema ini bertepatan dengan hasrat kerajaan beta yang ingin menarik perhatian pelancong berkunjung ke negeri ini, di samping dapat menikmati makanan dan menyaksikan pelbagai acara serta festival menarik yang disusun,” titah baginda.

Sultan Muhammad bertitah baginda turut mendapat maklum kerajaan negeri memberi penekanan khusus terhadap perancangan pembangunan bandar-bandar baharu di Kelantan sekali gus membuka lebih banyak aktiviti ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

Baginda turut mengalu-alukan penglibatan para pelabur untuk bersama-sama merebut peluang dalam membangunkan bandar-bandar baharu ini.

“Proses urbanisasi yang sempurna dan dinamik haruslah menitikberatkan pertumbuhan bandar-bandar yang terancang dan mampan tanpa mengabaikan penjagaan alam semula jadi.

“Sehubungan dengan itu, beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya menyediakan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan selaras dengan penetapan ‘Matlamat Pembangunan Lestari 2030’ oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Beta menyarankan semua pihak dapat bersama-sama mengambil bahagian dalam menjayakan pelaksanaan pelan induk ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Muhammad V bertitah program Kelantan Bersih yang telah dilaksanakan dilihat berjaya membawa perubahan daripada sudut pembudayaan kebersihan, dalam kalangan masyarakat.

“Di samping itu juga, beta diberi maklum program kebersihan dan keceriaan ini akan terus diperkasakan dengan penambahan peruntukan kepada RM10 juta pada 2020 berbanding RM6 juta pada tahun ini.

“Beta berharap agar program pembudayaan kebersihan dan keceriaan di kalangan rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan untuk menjadikan negeri ini antara yang terbersih di Malaysia,” titah baginda.

– BERNAMA


Pengarang :