EXCOSELANGOR

EXCO puji penguat kuasa MBSA tenang walau dikasari

SHAH ALAM, 10 FEB: Tindakan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam yang kekal tenang walaupun dikasari ketika menjalankan tugas dipuji EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata anggota berkenaan menunjukkan kewibawaan mengendalikan situasi luar jangka.

“Saya berharap orang awam sentiasa mematuhi peraturan kerana bertindak agresif ke atas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas adalah salah,” katanya dalam kenyataan.

Sze Han berkata tindakan penguat kuasa melepaskan kenderaan itu bukan satu kompromi, sebaliknya bagi menghentikan kekasaran yang akan memudaratkan orang lain.

Pada 6 Februari lalu, seorang wanita mengamuk apabila keretanya yang diletakkan di kawasan tunda ditarik penguat kuasa dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis dan sedia memberikan kerjasama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


Pengarang :