Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 21 kes baharu dicatat, kekal dua angka

SHAH ALAM, 20 JUN: Bilangan kes baharu Covid-19 kekal dua digit iaitu 21 dengan dua kes import dan bakinya adalah penularan tempatan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import melibatkan satu rakyat Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warganegara manakala 12 lagi adalah di kalangan rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Selangor merekodkan penularan kes dalam negara tertinggi dengan 10 diikuti Kuala Lumpur (tujuh) manakala masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Sabah.

Dr Noor Hisham berkata 76 pesakit lagi sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,146 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiga kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada yang memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 121 orang,” katanya.

Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 8,556 kes dengan 289 kes aktif kebolehjangkitan.


Pengarang :