Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Petugas Khas Agensi Kerajaan Negeri bagi menangani masalah dadah di Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 22 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ramai ingkar arahan, Selangor teliti semula SOP cegah Covid-19

SHAH ALAM, 22 JULAI: Tatacara operasi piawai (SOP) negeri bagi mencegah Covid-19 diteliti semula susulan kegagalan orang ramai mematuhinya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut dibincangkan esok dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bersama Perdana Menteri.

“Kita akan nilai balik (SOP). Selepas kita buka (sektor ekonomi), mustahil untuk tutup segera dan ia memerlukan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Petugas Khas Agensi Kerajaan Negeri bagi menangani masalah dadah di Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengemas kini aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memastikan rakyat mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Dalam sehari dua kita pantau guna SELangkah dan orang ramai boleh lapor jika ada individu tidak memakai pelitup muka atau premis tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dan tidak mengamal penjarakan sosial,” katanya lagi.

Pada masa sama, Amirudin turut menyokong tindakan kerajaan mengenakan kuarantin wajib 14 hari kepada rakyat Malaysia dan warga asing yang memasuki negara ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan semua individu yang tiba atau pulang dari luar negara wajib menjalani kuarantin di stesen ditetapkan bermula Jumaat ini.


Pengarang :