Selangorkini
Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (kiri) memeterai MoU bersama Naib Presiden Hubungan Industri dan Keusahawanan MSU Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali (kanan) di MSU Shah Alam pada 26 April 2021. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor-MSU perkasa pendidikan, latihan dua hala

SHAH ALAM, 3 MEI: Tourism Selangor memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) bagi memperkasa pendidikan, latihan dan penyelidikan secara dua hala.

MoU itu ditandatangi oleh Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan Naib Presiden Hubungan Industri dan Keusahawanan MSU Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali pada 26 April lalu.

Agensi promosi pelancongan negeri itu berkata kerjasama berkenaan memberi peluang kepada MSU mempromosikan Tourism Selangor selain menggalakkan pelajar menjalani latihan industri di situ.

“Pihak Tourism Selangor dan MSU dapat bekerjasama dalam bidang kajian dan pembangunan yang turut meliputi pertukaran bahan penyelidikan serta penerbitan dan pembentangan.

“Turut diperkenal Anugerah Industri pada Majlis Konvokesyen MSU untuk pelajar terpilih selain terlibat dalam program dan seminar perindustrian,” katanya dalam kenyataan.

Tourism Selangor berkata kakitangan MSU turut berpeluang menaik taraf kelayakan melalui tawaran sijil profesional yang diuruskan oleh agensi berkenaan.

Agensi itu menambah, pihaknya berdedikasi dalam membangunkan semula industri pelancongan negeri dengan menerokai pelbagai cabang.

“Ini termasuk pemerkasaan industri dari peringkat pendidikan tinggi untuk memartabatkan pelancongan negeri dari akar umbi,” kata agensi itu lagi.


Pengarang :