Selangorkini
Michelle Ng Mei Sze beramah mesra bersama kanak-kanak di Taman Permainan USJ6 pada 22 Oktober 2021. Foto AMIRAHWANI RAHIMI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntuk RM40,000 naik taraf taman permainan, gelanggang futsal

SUBANG JAYA, 23 OKT : Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk hampir RM40,000 bagi menaik taraf taman permainan dan gelanggang futsal di USJ6 di sini.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata sebanyak RM19,978 dibelanja untuk membaiki kerosakan taman permainan serta RM19,982 bagi gelanggang futsal.

“Kami terima laporan keadaan peralatan di gelanggang dan taman permainan di sini agak teruk dan perlu dibaik pulih demi keselesaan penduduk untuk beriadah.

“Kerja naik taraf siap pada awal Oktober dan saya harap penduduk menjaga kemudahan disediakan selain mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) mencegah Covid-19,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di USJ6 di sini semalam.

Menurut Michelle kemudahan taman dan gelanggang futsal yang berwajah baharu turut memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja yang terkurung selama dua tahun susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya difahamkan setiap petang atau hujung minggu tapak ini dihadiri lebih 40 kanak-kanak dan remaja. Oleh itu, saya rasa dengan sumbangan baik pulih ini dapat memberi keselesaan untuk mereka beriadah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Juan Lee turut berterima kasih kepada ADN Subang Jaya kerana menaik taraf fasiliti kawasan tersebut dan berharap masyarakat setempat tidak melakukan kerosakan.

“Bagi memperindahkan lagi kawasan ini, kita cadangkan pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meletakkan papan tanda seperti meminta pengunjung menjaga SOP,” katanya.


Pengarang :