Norhasyiah Ahmad, 34, berehat bersama dua anaknya ketika membersihkan barangan rumah selepas banjir surut di Pangsapuri Perdana Seksyen 13, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Banjir: Lebih 6,000 isi rumah di Petaling terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 6 JAN: Lebih 6,000 isi rumah di daerah Petaling yang terjejas dalam bencana banjir 18 Disember lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 setakat hari ini.

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata setakat semalam seramai 5,487 penerima mendapat inisiatif berkenaan dan hari ini bantuan disasar disampaikan kepada 1,400 isi rumah antaranya dari Kampung Seri Aman dan Kampung Tengah.

Tambahnya, pihaknya juga sudah mengagihkan bantuan itu kepada 85 peratus penerima di Shah Alam yang bakinya akan disegerakan.

“Saya boleh katakan setakat ini pengagihan berjalan lancar, kita sedia 60 pegawai yang bertugas memasukkan data pemohon di pusat sehenti di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling bagi mengelakkan permohonan bertindih.

“Pegawai kami akan menghubungi permohonan diluluskan, bantuan boleh diambil di pusat pengagihan berhampiran tempat tinggal pada waktu ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Johary turut menganggarkan sekitar 12,000 hingga 15,000 penerima BSB di Petaling.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :