Ziarah kasih yatim di rumah lima beradik yang kehilangan bapa akibat Covid-19 di Seksyen 24, Shah Alam pada 14 April 2022. Foto Facebook Yide
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lima beradik kematian bapa terima duit raya sumbangan Yide

SHAH ALAM, 15 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan sumbangan duit raya dan barangan keperluan asas kepada lima beradik di Seksyen 24, di sini, yang kematian bapa akibat Covid-19 kira-kira lapan bulan lalu.

Pengurus Besarnya berkata bantuan RM150 seorang dan Pek Kasih Yide disampaikan semasa sesi ziarah kasih yatim semalam sebagai tanda prihatin serta sokongan terhadap mereka.

“Allahyarham bapa kepada lima anak ini disahkan Covid-19 dan ditahan bersama ibu mereka Norida Yusof di wad salah sebuah hospital di sini sebelum menghembuskan nafas terakhir pada hari ke-32.

“Sepanjang Allahyarham bapa dan ibu mereka ditahan di hospital, anak sulung Muhammad Aiman, 17, menjalankan tanggungjawab menjaga empat lagi adiknya,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata ziarah kasih diadakan setiap bulan sepanjang Ramadan dengan memilih beberapa keluarga anak yatim di setiap daerah.

“Insya-Allah, ziarah ini akan diteruskan di daerah lain minggu hadapan,” katanya yang turut mengajak orang ramai menyantuni anak yatim.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide Mohamad Salim Sain dan Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah mengadakan ziarah kasih yatim di rumah lima beradik yang kehilangan bapa akibat Covid-19 di Seksyen 24, Shah Alam pada 14 April 2022. Foto Facebook Yide

Pengarang :