Anggota Unit Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meninjau harga jualan ketika mengadakan operasi pemeriksaan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMPHRP) 2020 di Pasar Dato Keramat Kuala Lumpur pada 22 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Skim kawalan harga 22 barang keperluan mulai 26 April hingga 6 Mei

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 dilaksanakan dari 26 April hingga 6 Mei ini melibatkan 22 jenis barangan, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Beliau berkata skim di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu dilaksanakan bagi tujuan menstabilkan harga barangan dan bekalan di pasaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini, dan ia melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.

“Tempoh kuat kuasa bagi skim ini ialah tujuh hari sebelum perayaan, pada hari perayaan itu sendiri dan tiga hari selepasnya,” katanya ketika mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2022 di kementeriannya di sini, hari ini.

Katanya barangan terlibat dalam pelaksanaan skim berkenaan ialah daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang); daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja) dan daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja).

Bagi kategori ikan pula ia melibatkan ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kilogram (kg); ikan selayang (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kg); ikan aya/tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kg) dan ikan Demudok/ Sagai/ Cermin/ Cupak (Sabah sahaja).

Kategori sayuran pula melibatkan tomato; cili merah; kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing); kacang panjang; terung panjang; timun; halia tua import; bawang merah besar import; bawang besar Holland; bawang putih (China); cili kering; kacang tanah; kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja).

Mengenai ketiadaan ayam dalam senarai SHMMP Hari Raya Puasa 2022, Nanta berkata ia berikutan pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Feb lepas yang masih berkuat kuasa sehingga 5 Jun.

Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Jan lepas memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

Sementara itu, Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit, adalah berdasarkan kepada maklumat harga daripada beberapa punca.

Antaranya melalui pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2021 dan pada bulan Januari sehingga April 2022 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh kementerian, katanya.

Selain itu katanya harga juga ditentukan menerusi pandangan pelbagai agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta maklumat dari pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya.

Nanta berkata peniaga yang gagal mematuhi SHMMP Hari Raya Puasa 2022 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

– BERNAMA


Pengarang :