Petugas kesihatan membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring dan Derma Darah di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring bantu rakyat ketahui tahap kesihatan secara percuma

KLANG, 7 OGOS: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri dapat membantu rakyat terutama yang terkesan akibat keadaan semasa mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

Muhammad Zairi Hashim

Penolong akauntan, Muhammad Zairi Hashim, 49, berkata beliau menganggap penganjuran program itu sebagai satu langkah tepat seiring dengan situasi yang melanda negara pada ketika ini.

Katanya mungkin sebelum ini individu terbabit tidak pernah mengalami sebarang penyakit, namun akibat tekanan keadaan semasa ia boleh mendatangkan risiko sebaliknya.

“Sebelum ini tak sakit, mungkin lepas saringan akan ketahui perkara sebaliknya. Jadi bagi saya program ini sangat bagus kerana bukan mudah untuk dilaksanakan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangorkini ketika program Selangor Saring bagi peringkat Dewan Undangan Negeri Bandar Baru Klang di Klang Parade di sini, hari ini.

Miimy Manan

Seorang kerani, Miimy Manan, 44, pula berkata menerusi program itu dia dapat berjimat ratusan ringgit berbanding melakukan saringan yang sama di klinik swasta.

“Sebelum ini dalam setahun saya akan memperuntukkan RM600 untuk melakukan saringan, siapa sangka Selangor dapat beri secara percuma.

“Bagi saya rugi jika orang ramai tidak mengambil peluang ini kerana ia demi kebaikan diri sendiri,” katanya.


Pengarang :