Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melayan orang ramai ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 18 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Barangan asas pada program jualan murah penuhi keperluan rakyat

GOMBAK, 19 SEPT: Barangan asas yang dijual dalam Jelajah Ehsan Rakyat amat bertepatan dan memenuhi keperluan harian rakyat.

Peniaga Nafsiah Ibrahim, 64, berkata barangan tersebut khususnya seperti ayam dan telur antara yang sentiasa diperlukan di rumahnya.

“Pada jualan kali ini, saya beli ayam dan daging, banyak sangat dapat dijimatkan kerana semua dijual pada harga RM10. Usaha Kerajaan Negeri ini meringankan beban rakyat khususnya berpendapatan rendah.

Nafsiah Ibrahim, 64. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagi saya, apa yang penting pada masa kini adalah keperluan asas barangan dapur. Apabila ada jualan seperti ini, rakyat dapat pergi dan beli keperluan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves di sini semalam.

Pesara Sohar Kayat, 61, berkata jualan murah dianjurkan Kerajaan Negeri amat membantu rakyat daripada semua golongan terutama yang tiada pendapatan.

“Golongan macam kami ini, berpeluang merasai jualan murah kerana dapat meringankan beban walaupun ada barangan cepat habis terjual.

Sohar Kayat, 61. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, dapat jimat banyak dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri mengadakan program ini. Saya harap dapat diteruskan paling kurang dua bulan sekali,” katanya.

Program jualan murah Kerajaan Negeri dikendali Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri itu memperuntuk RM10 juta.

Bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :