Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB bidas Azmin, sumbangan KDNK meningkat sejak 2019

SHAH ALAM, 30 OKT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pertumbuhan ekonomi Selangor tidak pernah merosot sebaliknya terus meningkat sejak 2019

Membidas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, penyandang kerusi Gombak yang juga bekas Dato’ Menteri Besar, Amirudin menyangkal dakwaan kononnya ekonomi Selangor semakin merosot.

Beliau yang bakal bertanding di parlimen sama menjelaskan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri berjumlah 24.8 peratus pada 2021, tidak pernah merosot sejak 2013.

“Saya tunjuk graf. Daripada tahun ke tahun sejak 2013, kita (Selangor) tidak pernah jatuh. Sumbangan KDNK kita 24.8 (peratus). Zaman Azmin Ali paling tinggi 23.7 (peratus).

“Saya tak faham orang lulusan matematik, antara 24.8 dan 23.7 (peratus) dia pun tak tahu mana paling tinggi?” kata pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu dalam ceramah di Sekinchan malam tadi.

Amirudin menambah rizab kewangan negeri pula berjumlah RM3.4 bilion, jauh lebih kukuh berbanding era pentadbiran Azmin.

Beliau menjelaskan rizab pada 2019 berjumlah RM2.1 bilion berikutan Azmin berbelanja defisit RM800 juta pada 2018.

“Dia tinggalkan (rizab) negeri RM2.1 bilion. Sekarang rizab negeri RM3.4 bilion. Jauh lebih tinggi daripada zaman dia,” katanya.

Amirudin juga menyifatkan Azmin berbohong kepada pengundi apabila melempar tuduhan kononnya Selangor mengalami kemerosotan ekonomi termasuk nilai rizab.

Beliau mendedahkan Azmin tidak bertanya angka ekonomi ketika menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri sekalipun tuduhannya berdasarkan angka daripada pegawai kanan itu.

“Dia (Azmin) tidak tahu saya masa dia telefon SS (Setiausaha Kerajaan Negeri), saya ada sebelah SS.

“Tidak ada satu angka pun dia tanya SS. Hari ini (29 Nov) dia nak bohong satu Malaysia, bohong (penduduk) Gombak,” kata Amirudin lagi.


Pengarang :