Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk melalui jambatan yang sudah ditenggelami air laut untuk berpindah ke tempat selamat sewaktu membuat pemantauan fenomena air pasang besar di Kampung Tinusa Dua, Sandakan, Sabah pada 24 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Banjir di Sarawak dan Perak pulih, tiga negeri lain tidak berubah, berkurang

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Situasi banjir di Sarawak dan Perak pulih sepenuhnya manakala keadaan di Sabah serta Terengganu tidak berubah sementara jumlah mangsa di Kelantan semakin berkurang setakat petang ini.

Di Sarawak, situasi banjir pulih sepenuhnya selepas satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebuyau ditutup tengah hari tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebelum ini, PPS itu menempatkan tujuh mangsa banjir.

Di Perak, Sekretariat JPBN memaklumkan PPS di Dewan Sekolah Menengah Abd Rahman Talib (SMART) Batu 4 di daerah Hilir Perak ditutup secara rasmi petang ini dan semua 35 mangsa daripada enam keluarga telah pulang ke kediaman masing-masing.

Sementara di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 17 orang daripada lima keluarga petang ini berbanding 31 orang daripada 12 keluarga pagi tadi.

Laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my memaklumkan kesemua mangsa itu ditempatkan di sebuah PPS di Pasir Mas.

Di Sabah, 135 mangsa banjir daripada 56 keluarga di Kota Belud yang ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Sementara itu, 1,454 orang yang terjejas akibat fenomena air pasang besar di Sabah masih berlindung di sebuah PPS di Sandakan manakala 298 lagi di enam PPS di Pitas.

Di Terengganu, Sekretariat JPBN memaklumkan seramai 53 orang daripada 12 keluarga mangsa banjir di Besut masih berlindung di PPS Masjid Kampung La dan semuanya dijangka berada di PPS itu dalam tempoh yang lama selepas kebanyakan rumah mereka dihanyutkan banjir.

– BERNAMA


Pengarang :