BUDAYARENCANA

Tidurlah oh waktu

Oleh Lokman Hakim

Tidurlah oi waktu. Aku mahu rehat. Lelapkan mata. Jumpa mimpi dan berjabat dengannya. Jika boleh aku mahu dakap mimpi malam ini. Peluk erat biar kejat. Tapi apa yang engkau bawa malam ini oi waktu? Sekopi masalah pagi? Ah, sudah. Kau calit pula beberapa keping roti dengan komitmen bulanan yang tak cukup gajiku membayarnya. Lalu kau kunyah. Ah, lazatnya! Kaubuat aku tergiur. Mana satu roti yang kau sapu dengan jem bil-bil elektrik dan mana satu roti yang kau tepekkan mentega ansuran pinjaman peribadi? Oh, semua roti itu kau buat untuk aku? Terima kasih sajalah, tapi aku mahu tidur.

Usah bertazkirah mengenai pembaziran makanan, oi waktu! Aku sedang jaga jumlah kesugulan yang aku telan hari-hari. Masalah makanan kurang berzat macam kepingan roti berintikan komitmen bulanan itu boleh bikin aku depresi. Tolong ya, oi waktu? Jauhkan makanan seumpama itu daripada aku.

Aku tarik selimut, baca surah Al-‘Asr. Engkau duduk pula di hadapan komputerku. Apa yang engkau taip itu, oi waktu? Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Begitu sahaja engkau menasihati aku, yang sudah entah berapa hari tidak tidur-tidur.

Engkau harus faham. Harus ada keseimbangan di antara kerja dengan kehidupan peribadi. Tapi engkau berbaring di sebelahku setelah meletakkan dulang berisi kerja-kerja tertangguh. Engkau bersungguh-sungguh mahu aku bangkit lalu duduk di hadapan komputerku. Katamu, aku bertanggungjawab ke atas kerja tertangguh yang aku gagal langsaikan sebelum waktu kerja berakhir. Oi waktu, bagaimana aku mahu siapkan longgokan kerja sebegitu banyak jika rehatku tidak cukup?

Ini bukan pasal kamu, tapi majikan kamu yang bertungkus lumus menyelamatkan syarikat, maka... engkau mula membebel mengenai perjuangan majikanku mengubah syarikat agar seiring dengan tema Malaysia Madani. Sesudah tamat waktu kerja, majikanku sering bertemu dengan beberapa orang berpangkat Dato’ Sri sambil mencungkil peluang projek baharu daripada mereka. Ya, contohilah majikan kamu itu, bekerja tanpa kira waktu. Berkorban demi masa depan keluarga tercinta. Berjuang demi merealisasikan sebuah Malaysia Madani.

Sungguh begitu, oi waktu? Sungguhlah? Sudahkah engkau lihat muka anakku yang masih kecil yang tidur lena itu? Aku tidak sempat berjumpa dengannya dalam keadaan dia jaga. Aku keluar bekerja sebelum dia bangun dan balik dari kerja sesudah dia tidur. Aku risau dia tidak kenal aku, hanya kenal mainan dan makanan yang aku belikan untuknya.

Atau sudahkah engkau lihat muka isteriku yang mengorbankan kariernya demi membuka ruang hidup sepenuhnya untuk menjaga anak tercinta? Kepenatan tidak pernah lurut dari wajahnya dan aku belum berkesempatan mengagihkan waktu terluangku untuknya. Kerjayaku menuntut urat merih hidupku disembelih seperti kibas yang menggantikan Nabi Ismail AS.

Oi waktu. Apakah di pundakmu hanya ada seguni komitmen bulanan untuk dikau beri kepadaku? Tiadakah sepotong doa ataupun sekurang-kurangnya sampul berisi cek bernilai ratusan ringgit untuk mengurangkan impak komitmen bulananku?

Engkau kata aku boros tapi tahukah engkau di negara ini, kenderaan peribadi itu harus dibeli dengan harga melambung tinggi jika mahu meneruskan kehidupan? Oi waktu, tidurlah. Tidakkah engkau ada kerja esok hari menghitung setiap detik cahaya mentari menyuluhi bumi? Atau adakah engkau sedang menghitung setiap detik malam kini?

Jangan engkau singkap telefon bimbitku itu. Benar, ada beberapa pesanan ringkas mengenai kerja di whatsapp yang patut aku langsaikan sebelum pagi. Tapi aku tidak dibayar untuk bekerja pada jam ini.

Oi waktu. Aku terpanggil untuk mendepani komputer lagi pada pukul 3 pagi. Kerisauan yang kautanamkan dalam kepalaku sekian lama tidak pernah surut. Ada kerja sambilan harus kuselesaikan supaya kebajikan keluargaku terjaga kerana gaji kerja hakiki tak pernah cukup. Dan sambil aku sudahkan kerja sambilan itu, aku sedang menyusun rancangan untuk mencari peluang kerja sambilan yang lain pula. Biar padat setiap jam merentasi hidupku.

Azan subuh sudah kedengaran. Adakah benar itu azan subuh? Aku belum sempat tidur lagi. Kerjaku juga tinggal sedikit. Dan aku harus menyerika baju kerjaku sebelum subuh berakhir kerana sesudah solat, aku harus lekas-lekas bergerak ke tempat kerja.

Dada berdebar-debar. Mujur air wuduk begitu menenangkan. Aku bentang sejadah. Aku tunaikan solat subuh lalu memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Aku lihat anakku bergerak di katilnya dek kerana lapar susu. Aku bancuh susunya lalu memberikan botol itu kepadanya yang secara automatik meneguk susu tanpa mencelikkan matanya. Mataku berpinar-pinar. Kepalaku berdenyut sakit. Nafasku mengah-mengah.
Isteriku masih tidur, penatnya masih tidak surut dari wajahnya yang kusut. Biarlah dia tidur lagi kerana sebentar lagi anakku pasti perlukan perhatian sepenuhnya bila bangun nanti.

Oi waktu, apa yang kau bawa di bahumu sekarang ini? Adakah itu… kematianku? Tapi masih banyak harus aku langsaikan di dunia ini. Perwarisan hartaku belum dibuat lagi. Sekian banyak solat belum sempat diqada lagi. Dan hari ini pasti majikanku perlukan laporan kerja yang aku mahu sudahkan bila tiba awal di pejabat nanti. Hutang bank, bil-bil belum terbayar, fidyah belum langsai. Maka tangguhkanlah…

Oi waktu, jasad siapa terbujur kaku di kaki anak tangga rumahku ini?


Pengarang :